Kerjaya politik Zairil_Khir_Johari

Kemasukan ke dalam politik

Pada tahun 2010, Zairil menyertai | DAP, sebuah parti yang ditubuhkan pada tahun 1966, dan telah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 23 Februari 2011. Di Kongres Kebangsaan DAP pada bulan Disember 2012, Zairil terpilih sebagai ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan. Beliau juga ahli termuda CEC penggal ini.

Dalam sebuah wawancara dengan portal berita The Rocket sejurus selepas penglibatannya dalam politik arus perdana dan pelantikannya sebagai Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil menjelaskan kenapa beliau menceburi politik. “Saya memang selalu minat dengan politik. Pada zaman muda, ia hanya sekadar minat secara umum, tetapi saya senantiasa peka kepada perkembangan negara. Saya rasa politik itu menarik kerana keputusan-keputusan yang dibuat akan mempunyai impak kepada masyarakat.

“Kerana bapa saya (Allahyarham Tan Sri Khir, mantan Menteri Pelajaran yang telah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri) merupakan seorang ahli politik yang telah lama berkhidmat, lantas minat saya lebih mendalam kerana pendedahan awal kepada dunia politik. Sejak kecil, saya selalu memerhatikan perbualan-perbualan antara kawan-kawan bapa saya yang berkisar pada politik.

DAP

Keputusan Zairil untuk menyertai DAP dan bukan parti bapanya, UMNO, telah mencetuskan debat dalam masyarakat Malaysia.

Ditubuhkan pada 18 Mac 1966, DAP, yang menggunakan Roket sebagai simbol parti, telah mengambil bahagian dalam 10 pilihan raya umum dari 1969 hingga 2008 [7]. Walaupun lama dilihat sebagai parti yang mewakili kepentingan masyarakat Cina Malaysia [8], DAP mencabar imej ini melalui agenda politik yang menekankan pembinaan negara yang menggalakkan penyepaduan semua rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum 1999, DAP telah bergabung dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk Barisan Alternatif (BA) untuk menghadapi perikatan politik Barisan Nasional (BN), atas dasar menentang politik BN yang didakwanya sebagai angkuh, pemerintahan tidak demokratik dan penindasan hak asasi rakyat Malaysia [9]. Dua tahun kemudian, DAP telah menarik diri daripada perikatan tersebut ekoran pendirian PAS untuk membentuk Negara Islam, sebuah konsep yang pada pandangan DAP tidak serasi dengan masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia.

Zairil berasa bahawa DAP mempunyai pendirian yang serasi dengan jiwanya, iaitu pendirian politik yang inklusif. Dalam wawancara dengan The Rocket pemimpin muda ini telah memberi sebab-sebab berikut kenapa beliau memilih DAP,:

(1) Sahabat-sahabat lama bapanya telah menasihati supaya menilai dengan sendiri situasi di peringkat akar umbi. Oleh itu, Zairil telah meluangkan masa dan berinteraksi bersama ahli-ahli pelbagai parti.

(2) Dalam masa ini, beliau telah berkenalan dan menjalin hubungan rapat dengan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Bendera.

(3) Beliau mendapati bahawa kepimpinan DAP telah menunjukkan prestasi yang baik, khususnya dalam pentadbiran Pulau Pinang.

(4) Setelah berasa selesa, beliau telah mengambil keputusan untuk menyertai DAP.

(5) Beliau memilih DAP dan bukan UMNO kerana mendakwa bahawa "semangat perjuangan” UMNO yang lama sudah tidak wujud dalam UMNO, dan sebaliknya kini membara dalam jasad yang lain seperti DAP dan parti-parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat. [10]

Dalam pelantikan Zairil sebagai Setiausaha Politik, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah memberitahu pihak media [11] bahawa pelantikan Zairil adalah berdasarkan kebolehan dan kelayakan beliau dan bukan atas sebab kaum.

“Hakikat bahawa Zairil itu Melayu,” kata Lim, “adalah kebetulan semata-mata. Beliau dilantik bukan sebab beliau Melayu tetapi sebab beliau seorang individu yang berilmu. Malah beliau mungkin boleh mengajar saya beberapa perkara yang saya tidak tahu.”

Ahli CEC

Pemilihan CEC yang diadakan pada bulan Disember 2012 telah terjejas akibat kesilapan teknikal komputer. Keputusan yang diumumkan pada 15 Disember 2012 telah menunjukkan bahawa Vincent Wu Him Wen telah terpilih ke dalam CEC. Akan tetapi, DAP telah mengadakan sidang akhbar pada 3 Januari 2013 untuk mengumumkan kesilapan teknikal dalam komputer dan mengesahkan bahawa Zairil adalah calon sebenar yang terpilih sebagai ahli CEC [12]. Ini telah diikuti dengan perletakan jawatan Pooi Weng Keong, iaitu pegawai pengurus yang bertanggungjawab atas penyeliaan proses pengiraan undi [13].

Pendirian politik

Sejak permulaan kerjaya politiknya, Zairil senantiasa menekankan dua isu makro – penubuhan identiti Malaysia yang tercerai daripada unsur perkauman melalui sistem politik yang lebih inklusif; dan keperluan untuk pemencaran kuasa pusat di Malaysia dengan dua matlamat – tadbir urus bersih dan telus, serta pemerkasaan rakyat [14].

“Jelas, kuasa (dari segi undang-undang dan kewangan) harus diagihkan dengan rasional, bukan sahaja dalam lingkungan kuasa Putrajaya tetapi juga kepada peringkat negeri dan kerajaan tempatan di mana sesuai. Pengagihan kuasa dari segi undang-undang, politik, kewangan dan tadbir urus adalah diperlukan untuk memastikan keberkesanan operasi serta untuk mengelakkan pemusatan kuasa yang bahaya di tampuk pentadbiran.

“Pada masa yang sama, pengagihan kuasa juga akan memenuhi hak demokratik rakyat dengan pemerkasaan kerajaan negeri dan tempatan,” tulis beliau dalam rencana untuk The Malaysian Insider.

Teras Zairil adalah untuk bergerak jauh daripada politik perkauman, menubuhkan sistem dwi-parti, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam tadbir urus, serta tindakan afirmatif berdasarkan keperluan, latar belakang sosio-ekonomi dan lokasi geografi, dan bukan warna kulit [15].

Malaysia untuk Rakyat Malaysia

Dalam kebanyakan ucapan, debat dan wawancara medianya, Zairil selalu menyokong pembentukan masyarakat Malaysia yang tidak jumud dan berjiwa besar. Beliau juga konsisten menentang pengasingan rakyat Malaysia berdasarkan kategori perkauman seperti Melayu dan bukan Melayu. Sejajar dengan pandangan itu, Zairil senantiasa menegaskan bahawa identiti utamanya adalah sebagai rakyat Malaysia. Mengikut laporan berita dalam The Rocket [16], ahli politik ini dipetik sebagai berkata bahawa beliau “percaya dalam konsep Bangsa Malaysia”.

Dalam laporan yang sama, Zairil menjelaskan bahawa Bangsa Malaysia tidak harus dikelirukan dengan konsep perkauman, tetapi ia adalah identiti yang boleh dikongsi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, kasta, kepercayaan atau agama.

“Kenapakah harus saya dikenalpasti oleh kaum nenek moyang saya? Saya berbangsa Malaysia,” ujar Zairil.

Agenda politik

Agenda politik Zairil mengambil pendekatan serampang dua mata: isu-isu kebangsaan dan negeri. Beliau senantiasa memperjuangkan reformasi dalam pendidikan, undang-undang dan sektor politik, dan pada masa yang sama juga menekankan keperluan untuk penyelesaian bagi isu-isu perancangan bandar, perumahan dan ekonomi negeri Pulau Pinang.

Dalam aspek sistem pendidikan Malaysia, Zairil telah menuntut supaya ia diceraikan daripada politik, [17]. Beliau dipetik sebagai berkata bahawa Jabatan Pelajaran harus dijadikan entiti asing daripada Kementerian Pelajaran, kerana sistem sedia ada menjadi rumit apabila Menteri mencampur tangan. Zairil juga mencadangkan panel bebas yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan untuk memantau jabatan tersebut.

Zairil juga giat memperjuangkan kebebasan sivil di Malaysia. Dari segi undang-undang, beliau menggesa reformasi dalam kerangka undang-undang dan kehakiman negara. Beliau juga kuat membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang baru dimansuhkan [18], Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar daripada kegiatan politik, serta Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mengharamkan “perhimpunan bergerak” dan juga memberi kuasa kepada polis untuk mengawal pengisian dan perjalanan mesyuarat awam.

Isu-isu Pulau Pinang

Dari segi isu-isu yang berkaitan dengan Pulau Pinang, Zairil telah menulis bahawa, “Dalam usaha Pulau Pinang untuk menjadi bandar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, adalah penting untuk merubah warisan susuk bandar yang tidak terancang baik. Dengan kata lain, kita harus membentukkan bandar lestari yang mampu menghubungkan orang, melalui prasarana umum yang berkesan, kepada perumahan, kemudahan, tempat pekerjaan dan perdagangan. [19]

Dalam isu perumahan, beliau pernah berkata bahawa terdapat ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan. Oleh itu, perubahan radikal diperlukan. “Walaupun masalah perumahan Pulau Pinang nampak unik, sebenarnya faktor-faktor asasnya adalah sama di serata negara. Oleh itu, apa yang diperlukan bukan sahaja untuk Pulau Pinang, malah untuk seluruh Malaysia, adalah pengkajian semula dasar-dasar perumahan dan perancangan yang ketinggalan zaman dan tidak lestari,” tulis beliau dalam rencana untuk The Malaysian Insider [20].

Penang Institute

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif [www.penanginstitute.org | Penang Institute], iaitu badan pemikir Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Zairil telah menerajui aktiviti-aktiviti yang berjaya menyebarkan pengaruh Pulau Pinang di pentas kebangsaan dan antarabangsa, serta menyediakan penyelesaian realistik bagi keperluan ekonomi dan sosial rakyat di serantau Pulau Pinang [21].

Di bawah kepimpinan Zairil, Penang Institute telah berjaya melakarkan nama sebagai salah satu badan pemikir yang utama di Malaysia yang kerap menjadi rujukan kepada badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam pelbagai isu seperti pendidikan, pembangunan lestari dan ekonomi.

Penang Institute juga rajin menganjurkan pelbagai aktiviti umum seperti rundingan meja bulat dalam isu desentralisasi atau pengagihan kuasa pusat. Di samping itu, Penang Institute juga banyak mempromosikan isu kebudayaan dan keintelektualan Melayu menerusi siri Forum Nusantara yang “yang bertujuan untuk mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekia, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi keilmuan yang berkait sama ada secara langsung atau tidak dengan kebudayaan Pulau Pinang dan rantau Nusantara secara am.” [22]

Atas usaha Zairil, Penang Institute juga telah menganjurkan Festival P Ramlee yang telah berlangsung selama sebulan dari bulan Disember 2012 hingga Januari 2013 bagi meraikan jasa dan sumbangan Seniman Agung yang berasal dari Pulau Pinang [23].

Penang Institute juga sering menganjurkan siri kuliah antarabangsa. Pada tahun 2012, pelbagai tokoh ilmuan antarabangsa telah dibawa ke Pulau Pinang untuk kuliah-kuliah umum, seperti ahli falsafah Islam kontemporari Profesor Tariq Ramadan serta pakar ekonomi dunia dan pejuang pembangunan lestari Profesor Jeffrey D. Sachs.

Penang Institute juga telah menubuhkan gabungan “ASEAN Coalition for Clean Governance (ACCG)” [24], di mana persidangan julung kali telah diadakan pada bulan Jun 2012. Pelbagai peserta dari tujuh buah negara serantau telah hadir. Antara pemimpin-pemimpin yang turut menghadiri persidangan tersebut adalah mantan Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva, mantan Ketua Lembaga Audit Indonesia Dr Anwar Nasution dan pengerusi bersama badan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. Pada bulan Disember 2012, mantan Presiden Indonesia Dr | Bacharuddin Jusuf Habibie telah menghadiri kuliah khas sempena ACCG.

Ahli Parlimen Bukit Bendera

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diadakan pada 5hb Mei 2013, Zairil Khir Johari telah memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera dengan jumlah undi sebanyak 45,591 mengalahkan calon dari Barisan Nasional dengan majoriti 32,778. [25]

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Zairil dicalonkan di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjong Bunga menentang Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow. Kerusi tersebut dianggap salah satu kerusi bahaya bagi DAP ekoran kontroversi-kontroversi yang melibatkan mantan Adun Tanjong Bunga yang sudah pun meninggalkan parti. Namun begitu, Zairil berjaya mengalahkan Teng dengan majoriti 9,343, lantas menggandakan majoriti lalu. Ekoran kekalahannya, Teng mengumumkan persaraannya daripada arena politik. [26]

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Dengan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah dilantik sebagai Menteri Kewangan Malaysia sementara Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengambil alih sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baru telah ditubuhkan dengan Zairil dilantik sebagai Ahli Exco yang bertanggungjawab bagi kerja raya, utiliti dan tebatan banjir.[27]

Rujukan

WikiPedia: Zairil_Khir_Johari http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://penangmonthly.com/tag/asean-coalition-for-c... http://www.theedgemalaysia.com/highlights/228556--... http://www.theedgemalaysia.com/political-news/2293... http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/articl... http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/articl... http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article... http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article... http://dinmerican.wordpress.com/2011/02/23/25261/ http://zairil.wordpress.com/2011/01/04/kenapa-saya...